
Rumah Putih memberi bayangan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin akan meminta negara-negara Arab menanggung kos perang AS terhadap Iran, yang dianggarkan mencecah puluhan bilion dolar.
Menurut jurucakap Donald Trump, Karoline Leavitt, ketika ditanya pada Isnin sama ada negara Arab wajar menanggung kos perang tersebut, dia merujuk kepada situasi ketika sekutu AS membantu membiayai campur tangan Washington semasa Perang Teluk 1990.
“Saya rasa itu sesuatu yang presiden sangat berminat untuk meminta mereka lakukan,” kata Leavitt kepada wartawan. Tambahnya lagi, “Saya tidak mahu mendahului dia dalam hal ini, tetapi ia sememangnya satu idea yang saya tahu dia akan pertimbangkan dan saya fikir anda akan mendengar lebih lanjut daripadanya mengenai perkara ini.”
AS pernah mengetuai gabungan global yang terdiri daripada puluhan negara semasa Perang Teluk bagi menangkis pencerobohan Iraq ke atas Kuwait atas permintaan negara itu dan beberapa negara Arab lain.
Sebagai balasan, negara-negara di rantau tersebut serta anggota gabungan termasuk Jerman dan Jepun, mengumpulkan $54 bilion (bersamaan kira-kira $134 bilion hari ini) bagi membantu membiayai penglibatan AS.
Namun kali ini, AS dan rejim Israel melancarkan perang terhadap Iran secara unilateral tanpa melibatkan sekutu dan negara serantau.
Pada awal bulan ini, Sean Hannity, seorang pengulas kanan yang rapat dengan Donald Trump, menyatakan bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata seharusnya merangkumi syarat agar Iran menanggung kos perang tersebut, yang dilaporkan telah mengorbankan hampir 2,000 nyawa rakyat Iran.
“Mereka mesti bersetuju membayar balik kepada Amerika dalam bentuk minyak bagi keseluruhan kos operasi ketenteraan ini,” kata Hannity.Namun, Iran pula meletakkan pampasan daripada AS atas kerosakan akibat perang sebagai salah satu syaratnya. Iran telah membalas serangan AS dan Israel dengan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh Timur Tengah.
Pegawai Iran menyatakan mereka menyasarkan aset AS di rantau itu, namun Tehran juga melancarkan serangan ke atas lokasi awam termasuk hotel, lapangan terbang dan infrastruktur tenaga di beberapa negara Teluk.
Media AS sebelum ini melaporkan bahawa enam hari pertama perang menelan kos sebanyak $11.3 bilion. Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa pula menganggarkan jumlah itu meningkat kepada $16.5 bilion menjelang hari ke-12 konflik. Kos tersebut dijangka jauh lebih tinggi kini apabila perang memasuki hari ke-31.
Rumah Putih sedang memohon sekurang-kurangnya $200 bilion peruntukan tambahan ketenteraan daripada Kongres bagi membiayai kempen ketenteraan di Iran serta menambah semula stok senjata Pentagon.
Selain kos ketenteraan, perang tersebut yang menyaksikan Iran menutup Selat Hormuz, telah menyebabkan harga tenaga global melonjak. Harga purata petrol di AS kini mencecah $3.99 bagi satu gelen (3.8 liter), menurut data Persatuan Automobil Amerika (AAA), iaitu lebih $1 meningkat berbanding sebelum perang bermula.
Pada Isnin, Leavitt menegaskan semula pendirian pentadbiran Trump bahawa kenaikan harga tenaga ini hanyalah bersifat sementara dan akan diimbangi oleh manfaat yang boleh melemahkan Iran.
Iran pula berhujah bahawa mereka diserang terlebih dahulu ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung dan tidak menimbulkan ancaman kepada AS atau rantau tersebut sebelum ini.
Sumber: Al Jazeera