Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan sokongan terhadap hak Iran untuk mempertahankan diri daripada serangan Israel sambil mengecam tindakan rejim Zionis yang digambarkannya sebagai satu keganasan negara.
“Adalah sesuatu yang sepenuhnya wajar, sah dan berlandaskan undang-undang bagi Iran untuk mempertahankan dirinya daripada keganasan dan tindakan samseng Israel,” kata Erdogan dalam ucapan pada Mesyuarat Kumpulan Parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di ibu negara Ankara, menurut laporan Anadolu.
Kenyataan itu dibuat ketika serangan Israel terhadap Iran dan sekutunya di rantau ini terus meningkat.
Dalam ucapannya, Erdogan turut mengkritik kepimpinan Israel dengan keras:
“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah lama melampaui kezaliman Hitler dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai. Kami berharap nasib mereka tidak akan menjadi serupa.”
Erdogan menegaskan bahawa Turkiye sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan pencerobohan tidak berperikemanusiaan terhadap Gaza, Syria, Lubnan, Yaman dan jiran mereka, Iran.
“Darah bayi dan kanak-kanak yang dibunuh, serta mangsa awam yang disembelih, bukan sahaja mengotori tangan dan wajah mereka yang menyokong keangkuhan Israel, tetapi juga mereka yang berdiam diri,”
katanya.
Presiden itu turut memberi jaminan bahawa Turkiye memantau secara rapat perkembangan konflik dan semua institusi negara telah diarah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kestabilan Turkiye.
“Rakyat tidak perlu gusar. Kami komited sepenuhnya untuk mempertahankan kepentingan, keamanan, perpaduan dan keselamatan negara,”
ujarnya.
Erdogan juga mengecam sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman di Timur Tengah.
“Dalam keadaan pencerobohan yang berlaku secara terang-terangan di depan mata dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, badan antarabangsa dan negara-negara lain hanya berdiam diri. Malah ada yang menyokong tindakan samseng ini,”
katanya.
Beliau menyeru agar seluruh rantau, termasuk Iran, mengambil iktibar daripada perkembangan semasa, sambil menekankan pentingnya menghentikan pencerobohan Israel demi kestabilan serantau dan kemanusiaan sejagat.
“Perjuangan kami untuk menghentikan keganasan Israel akan diteruskan. Usaha kami untuk mewujudkan keamanan di rantau ini akan dipergiat. Kami tidak akan menghentikan hubungan diplomatik dan perbincangan telefon. Kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mengelak malapetaka yang boleh menjejaskan semua pihak,” tegasnya.
Sumber: Middle East Monitor, Anadolu Ajansi