Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Turkiye mengumumkan pemutusan sepenuhnya hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Israel, termasuk menutup ruang udara kepada pesawat Israel serta melarang kapal Israel dan kapal berbendera Turkiye daripada memasuki pelabuhan masing-masing. Tindakan itu diambil sebagai respons terhadap kekejaman berterusan rejim Zionis di Gaza.


Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata keputusan itu dibuat selepas Israel berterusan melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin.


“Israel telah melakukan genosid di Gaza sejak dua tahun lalu dan mengabaikan nilai-nilai asas kemanusiaan di mata dunia,” katanya pada sidang media dan sesi khas parlimen di Ankara.


“Kami menolak sebarang pelan yang mengakibatkan perpindahan penduduk Palestin dari Gaza. Siapa pun yang mencadangkannya, pelan itu tidak sah bagi kami. Membiarkan Israel meneruskan serangan kejam bukan sahaja menjejaskan Palestin, tetapi juga berpotensi menjejaskan seluruh rantau ini,” tegas Fidan.


Beliau menambah, penentangan rakyat Palestin terhadap Israel bakal mengubah sejarah, menjadi simbol perjuangan bagi mereka yang tertindas dan menggoncang sistem yang kian rapuh. Fidan turut menyifatkan kekejaman di Gaza sebagai salah satu bab paling hitam dalam sejarah kemanusiaan.


Turkiye sebelum ini telah menghentikan hubungan dagangan secara langsung dengan Israel pada Mei 2024, sambil menuntut gencatan senjata kekal dan kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza. Menurut data Biro Statistik Israel dan laporan Institut Perjanjian Abraham, pada tahun 2023, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$7 bilion, dengan eksport Israel ke Turkiye meningkat sebanyak 56 peratus, malah melonjak 168 peratus pada suku terakhir tahun itu.


Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, turut menyifatkan perang Israel sebagai genosid dan menyamakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler.


Media Turkiye minggu lalu melaporkan bahawa sekatan ke atas kapal Israel di pelabuhan Turkiye telah dikuatkuasakan walaupun tanpa kenyataan rasmi pada awalnya. Kini, Fidan mengesahkan perkara tersebut: “Kami telah hentikan sepenuhnya perdagangan dengan Israel. Kami tidak membenarkan kapal Turkiye berlabuh di pelabuhan Israel dan kapal Israel tidak boleh masuk ke pelabuhan kami. Pesawat Israel juga tidak dibenarkan memasuki ruang udara Turkiye.”


Dalam ucapannya, Fidan menegaskan bahawa membiarkan Israel terus menyerang Palestin tanpa sekatan hanya akan memperdalam konflik, meningkatkan penderitaan rakyat Gaza yang kini berdepan kebuluran akibat sekatan penuh serta mengancam kestabilan serantau.


Sumber: Quds News Network, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 30, 2025