Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, mengumumkan bahawa London akan menghantar tambahan jet pejuang Tentera Udara Diraja (RAF) ke Asia Barat bagi membantu mempertahankan Israel susulan satu lagi siri serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran ke atas wilayah haram Israel itu.


Starmer membuat kenyataan tersebut pada hari Ahad ketika beliau dalam perjalanan ke Kanada untuk menghadiri sidang kemuncak G7. Beliau menyatakan bahawa pertempuran sengit antara Israel dan Iran akan dibincangkan dengan lebih lanjut memandangkan kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas untuk hari ketiga berturut-turut.


“Pesanan kami sentiasa jelas iaitu supaya ketegangan konflik ini dikurangkan, dan oleh itu segala tindakan yang kami ambil serta perbincangan yang kami jalankan adalah ke arah mencapai matlamat tersebut,” tambah beliau.


Starmer turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan yang baik dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat, termasuk membincangkan soal keselamatan dan perlindungan Israel seperti yang dijangka antara dua sekutu.


Beliau turut menegaskan bahawa UK mempunyai kebimbangan yang berpanjangan terhadap program nuklear Iran, sambil menegaskan bahawa London mengiktiraf sepenuhnya hak Israel untuk mempertahankan diri.


Situasi ini berlaku ketika Iran memberi amaran kepada AS, UK dan Perancis bahawa pangkalan dan kapal mereka akan dianggap sebagai sasaran yang sah di rantau ini jika mereka memberikan sokongan kepada Israel.


Rejim penjajah Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran pada awal pagi Jumaat, menyasarkan pegawai tertinggi tentera serta beberapa lokasi ketenteraan, nuklear dan awam di Tehran dan beberapa bandar lain.

Sumber: Press TV

Written by
Admin
Published on
June 16, 2025