.png)
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak Palestin terbunuh manakala kira-kira 850 kanak-kanak lagi cedera di wilayah Palestin yang dijajah sejak Januari 2025. Jumlah itu bersamaan purata seorang kanak-kanak terbunuh setiap minggu.
Jurucakap UNICEF, James Elder berkata dalam satu taklimat media di Geneva bahawa 93% daripada kanak-kanak yang terbunuh itu dibunuh oleh tentera Zionis. Selebihnya menjadi mangsa serangan warga haram Israel, bahan letupan yang belum meletup atau terkena tembakan secara tidak sengaja oleh pasukan Palestin.
Menurut UNICEF, kebanyakan kanak-kanak yang terbunuh atau cedera di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur terkena peluru hidup, manakala yang lain ditikam, dipukul atau disembur dengan semburan lada.
Elder berkata kematian itu bukan sahaja berpunca daripada peningkatan serbuan dan serangan ketenteraan pihak penjajah, tetapi juga akibat serangan warga haram Israel. Beliau menyatakan bahawa Mac 2026 mencatatkan jumlah tertinggi rakyat Palestin yang cedera akibat serangan pendatang haram Israel dalam tempoh 20 tahun lalu.
“Ini bukan insiden terpencil. Ia menunjukkan satu corak berterusan pelanggaran paling buruk terhadap hak kanak-kanak,” kata Elder, sambil menambah bahawa serangan turut menyasarkan rumah, sekolah dan sumber air yang menjadi kebergantungan kanak-kanak.
Beliau memberi amaran bahawa keganasan terhadap kanak-kanak Palestin bukan sahaja berlaku melalui serangan langsung, tetapi juga melalui pemusnahan beransur-ansur sistem asas yang diperlukan mereka untuk hidup dan membesar, termasuk rumah, sekolah, infrastruktur air dan akses kepada penjagaan kesihatan.
“Penderitaan mereka tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa,” kata Elder.
UNICEF menggesa pihak berkuasa rejim Israel supaya mengambil tindakan segera dan tegas bagi mencegah pembunuhan serta kecederaan lanjut terhadap kanak-kanak Palestin, selain melindungi rumah, sekolah dan akses mereka kepada air selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Elder turut menyeru negara-negara anggota yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan undang-undang antarabangsa dihormati.
Sumber: WAFA Agency, Reuters