Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini mempunyai hampir 6,000 buah trak makanan yang tersekat di luar Gaza dan masih menunggu kebenaran untuk memasuki wilayah tersebut, kata Ketua Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini pada Jumaat.
Pendedahannya di platform X mendapat perhatian dan menurutnya lagi, kesemua trak tersebut sedang menunggu lampu hijau untuk masuk. Tidak cukup dengan itu, Lazzarini juga mendakwa penghantaran udara (airdrops) adalah tidak berkesan dan tidak mencukupi untuk rakyat Gaza.
“Jika ada kemahuan politik untuk membenarkan penghantaran udara yang amat mahal, tidak mencukupi dan tidak berkesan ini, maka seharusnya ada juga kemahuan politik untuk membuka laluan darat,” tambahnya tanpa menyebut Israel secara langsung walaupun entiti tersebut bertanggungjawab menyekat kemasukan bantuan ke Gaza sehingga menyebabkan kebuluran.
Menurutnya lagi, PBB termasuk UNRWA dan rakan-rakan gabungannya pernah berjaya membawa masuk antara 500 hingga 600 trak sehari semasa gencatan senjata awal tahun ini.
Bantuan itu, katanya, telah sampai kepada seluruh penduduk Gaza dengan selamat dan bermaruah, tanpa sebarang penyalahgunaan. Beliau juga menegaskan bahawa tiada alternatif kepada mekanisme bantuan yang dikoordinasi oleh PBB yang mampu mencapai hasil sebegitu.
Sumber: Middle East Eye