Penasihat media Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Adnan Abu Hasna mendedahkan bahawa rejim Israel telah menghalang kira-kira 6,000 buah trak milik agensi tersebut daripada memasuki semenanjung Gaza.
Beliau memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan di Gaza bakal bertambah buruk menjelang musim sejuk, susulan tindakan pihak rejim yang terus menyekat kemasukan bantuan asas dan bekalan kecemasan ke wilayah tersebut.
Menurut Abu Hasna, UNRWA kini mempunyai kira-kira 6,000 buah trak sarat dengan makanan dan bantuan kemanusiaan yang sedia untuk dihantar masuk ke Gaza. Katanya:
“Trak-trak ini mengandungi bekalan makanan mencukupi untuk tiga bulan, selain ratusan ribu khemah, selimut, tilam dan pakaian untuk menampung keperluan 1.3 juta rakyat Palestin. Namun sehingga kini, Israel masih tidak membenarkan kemasukannya.”
Beliau menjelaskan bahawa rejim Israel hanya membenarkan jumlah khemah yang sangat terhad memasuki Gaza, meskipun keperluannya amat mendesak. Menurutnya, UNRWA memiliki bekalan besar kelengkapan perlindungan sementara, namun sekatan rejim tersebut menghalang bantuan berkenaan daripada disalurkan kepada orang awam.
Perjanjian gencatan senjata antara HAMAS dan Israel, yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, menetapkan bahawa 600 buah trak bantuan harus dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari. Namun pihak rejim tidak mematuhi perjanjian tersebut dan hanya membenarkan sekitar 200 trak sahaja yang masuk setiap hari.
Sementara itu, ribuan orang awam masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai ahli keluarga mereka yang hilang. Ramai dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan, jasad-jasad yang tidak diketahui identitinya di hospital atau tertimbus di dalam kubur.
Sejak 7 Oktober 2023, rejim Israel telah membunuh seramai 70,103 individu dan mencederakan 170,985 yang lain, majoritinya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.
Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle