Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tebing Barat yang dijajah kini menyaksikan satu perang yang dibisukan atau ‘perang senyap’ oleh tentera Zionis dan pendatang haram Israel sejak Oktober 2023, kata Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad.


“Puluhan ribu rakyat terpaksa berpindah setahun selepas pelancaran Operasi Iron Wall iaitu pemindahan terbesar sejak 1967. Rumah-rumah mereka kini dimusnahkan secara berperingkat bagi menghalang mereka dari pulang ke kediaman masing-masing,” kata Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan di platform X.


Pada 21 Januari, tentera haram Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di utara Tebing Barat, mengorbankan ramai nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.


Lazzarini berkata lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh di wilayah yang dijajah itu sejak Oktober 2023, hampir satu perempat daripadanya terdiri daripada kanak-kanak.


“Serangan oleh pendatang haram Israel terus berlaku tanpa henti. Komuniti Palestin sentiasa diugut, dipaksa keluar dari tanah mereka dan mata pencarian mereka dimusnahkan,” katanya. 


Lazzarini turut menegaskan bahawa UNRWA masih memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kecemasan di Tebing Barat walaupun berdepan cabaran yang amat besar.


“Ketika perhatian dunia tertumpu kepada Gaza, pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Tebing Barat telah dinormalisasikan. Ia mesti dihentikan sebelum terlambat,” katanya.



Sumber: Middle East Monitor, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
February 2, 2026