.png)
Seorang tahanan wanita Palestin mendedahkan beliau berulang kali menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pegawai penyiasat rejim Israel ketika berada dalam tahanan, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, suruhanjaya itu memaklumkan bahawa keterangan mangsa direkodkan oleh peguamnya ketika melawat wanita tersebut di Penjara Damon di utara Israel. Identiti mangsa serta sebab penahanannya tidak didedahkan.
Menurut keterangannya, beliau ditahan selepas tentera rejim Israel menyerbu rumah keluarganya pada waktu Subuh sebelum dipindahkan ke beberapa buah pusat siasatan dan disoal siasat selama beberapa hari.
Mangsa berkata, beliau turut diugut dengan ancaman terhadap ahli keluarganya, dihina berulang kali serta dipaksa membuat pengakuan di bawah tekanan.
Menurut pengakuannya, seorang pegawai penyiasat telah berulang kali melakukan gangguan seksual secara fizikal terhadapnya ketika sesi soal siasat. Walaupun beliau membantah dan menegaskan bahawa perbuatan itu merupakan gangguan seksual, pegawai berkenaan tidak mengendahkannya dan meneruskan perbuatan jijik tersebut.
Mangsa juga memaklumkan bahawa beliau telah dipaksa menjalani pemeriksaan badan secara bogel lebih daripada sekali sebelum dipindahkan ke Penjara Damon, yang menurutnya keadaan kem tahanan itu berada pada tahap minimum maruah manusia.
Beliau menggambarkan keadaan penjara itu sebagai sesak, kekurangan makanan, dipenuhi serangga, serta kekurangan bekalan kebersihan diri dan pakaian. Menurutnya, sebahagian tahanan wanita terpaksa tidur di atas lantai kerana kekurangan katil.
Beliau berkata lagi bahawa pihak pengurusan penjara turut mengenakan pelbagai sekatan terhadap tahanan wanita, termasuk membuat serbuan mengejut dan pemeriksaan, pengasingan, larangan berhubung antara blok tahanan, serta penafian terhadap beberapa keperluan asas.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin berkata keterangan tersebut merupakan sebahagian daripada dokumentasi berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi terhadap tahanan wanita Palestin di penjara Israel yang menjejaskan maruah mereka.
Suruhanjaya itu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi melindungi tahanan wanita Palestin serta memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang pelanggaran dibawa ke muka pengadilan.
Menurut angka rasmi Palestin, sehingga awal Julai 2026, rejim Israel menahan kira-kira 9,400 rakyat Palestin di penjaranya, termasuk 94 tahanan wanita, lebih 350 kanak-kanak, 3,244 tahanan pentadbiran dan 1,320 individu yang diklasifikasikan sebagai ‘pejuang haram’.
Sumber: Anadolu Agensi