Seorang wartawan Palestin, Yahya Subaih, dilaporkan dibunuh dalam satu serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di Bandar Gaza, yang turut meragut lebih sepuluh nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Subaih, yang dikenali di kalangan rakan media sebagai seorang wartawan berdedikasi, maut hanya beberapa jam selepas memuat naik gambar dirinya memegang anak perempuannya yang baru dilahirkan.
"Seorang puteri kecil telah menyinari dunia kita. Segala puji bagi Allah yang telah memuliakan kita dengan kedatangan anak perempuan kita yang berharga. Semoga Allah menjadikan dia zuriat yang solehah dan bergembira dengannya," tulis Subaih dalam hantaran terakhirnya di media sosial.
Rakaman video yang tular menunjukkan mayat Subaih terbaring di lokasi serangan dengan pakaian yang sama seperti dalam gambar bersama anaknya.
Serangan tersebut menyasarkan kawasan kediaman di Bandar Gaza, sekali lagi menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan orang awam, khususnya golongan wartawan dan keluarga mereka.
Subaih meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan yang baru lahir.
Sumber: The Palestine Chronicles