Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Program Makanan Dunia (WFP) menegaskan bahawa jumlah bantuan kemanusiaan yang diterima di Gaza masih jauh daripada mencukupi, meskipun rejim Israel mendakwa telah meningkatkan kemasukan bekalan ke wilayah itu. Menurut WFP, situasi semasa disamakan dengan krisis kebuluran paling buruk dalam abad ke-20.


Menurut Penasihat Kanan Biro Serantau WFP untuk Afrika Timur dan Tengah, Ross Smith, mereka tidak menerima kebenaran untuk menghantar bantuan dalam jumlah yang dipohon. Beliau menyifatkan bencana yang sedang berlaku di Gaza sebagai sesuatu yang belum pernah disaksikan pada abad ini. Beliau membandingkan keadaan itu dengan kebuluran besar di Ethiopia dan Biafra, Nigeria pada abad ke-20.


Menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin, seramai 147 orang, termasuk 88 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak bermulanya genosid pada Oktober 2023.


Amaran turut disuarakan oleh lebih 100 pertubuhan kemanusiaan, termasuk Amnesty International, Doctors Without Borders (MSF) dan Oxfam, memberi peringatan bahawa kebuluran besar-besaran kini sedang berlaku di Gaza


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa bandar Gaza merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan hampir satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat akut.


Pengarah Hospital al-Shifa memaklumkan bahawa hospital kini menerima ratusan pesakit yang mengalami kebuluran teruk dan kekurangan zat makanan. 

“Katil dan bekalan ubat tidak mencukupi. Kami menyaksikan gejala seperti hilang ingatan, keletihan melampau, serta pesakit pengsan akibat kelaparan. Kami mempunyai 17,000 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan serius. Ini adalah satu generasi yang sedang dibunuh melalui kebuluran,”

katanya.


Pada 2 Mac lalu, Israel menutup semua pintu sempadan utama ke Gaza, memutuskan bekalan makanan, perubatan dan bantuan, sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh 2.3 juta penduduk Palestin. Langkah ini dilihat sebagai bukti bahawa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin.


Selepas lebih 80 hari sekatan penuh oleh Israel, hanya sejumlah kecil bantuan berjaya disalurkan melalui Global Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi kontroversi yang didakwa ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel. GHF dilaporkan ditubuhkan bagi memintas saluran bantuan rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Keadaan menjadi lebih tragis apabila ratusan rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di lokasi agihan oleh GHF. Pihak Berkuasa Palestin dan PBB menyifatkan kawasan tersebut sebagai perangkap maut.


Pada Sabtu, tentera Israel mengumumkan pemberhentian sementara perang bagi membolehkan bantuan masuk ke Gaza, namun serangan tetap berterusan. Seorang petugas PBB memaklumkan bahawa tempoh yang singkat itu langsung tidak mencukupi untuk merawat kanak-kanak yang kelaparan. PBB turut mengesahkan Israel terus menyekat kemasukan makanan, dengan hanya segelintir trak bantuan berjaya menembusi sekatan.

Penilaian International Procurement Centre (IPC) pada Selasa mendapati dua daripada tiga ambang kebuluran telah dilanggar di kebanyakan kawasan Gaza, sekali gus mengesahkan amaran berulang yang disuarakan oleh agensi-agensi bantuan sebelum ini.

“Bukti semakin jelas bahawa kebuluran, kekurangan zat dan penyakit menyebabkan peningkatan kematian berkaitan kelaparan,”

menurut kenyataan IPC.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 30, 2025