Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata terdapat lebih 600 serangan oleh Israel ke atas kemudahan kesihatan di Gaza sejak tahun 2023. Sektor kesihatan kini lumpuh sepenuhnya, ditambah dengan kekurangan bahan api dan bekalan perubatan yang kritikal.


Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dalam beberapa hari kebelakangan ini, serangan ke atas khemah dan bangunan kediaman di bandar Gaza dan Deir al-Balah telah mengorbankan puluhan rakyat Palestin, termasuk petugas perubatan serta keluarga mereka. Lebih 1,500 petugas perubatan telah terbunuh di Gaza sejak 2023.


WHO melaporkan bahawa hanya 18 daripada 36 buah hospital awam di Gaza masih beroperasi namun secara terhad. Petugas perubatan dan pegawai kesihatan Palestin berulang kali mendakwa tentera Israel sengaja menjadikan hospital sebagai sasaran serangan.


Sementara itu, Hospital Nasser, hospital utama di selatan Gaza mengeluarkan amaran apabila bekalan bahan apinya hampir habis, dengan menyatakan bahawa fasiliti itu kini hampir kritikal.


“Dengan meter bahan api hampir ke sifar, para doktor kini bertarung menyelamatkan nyawa dalam perlumbaan menentang masa, maut dan kegelapan. Mereka terpaksa melakukan pembedahan tanpa penghawa dingin, dalam kepanasan yang membara dan tubuh yang keletihan akibat lapar dan penat,” menurut kenyataan itu.


Namun mata mereka masih membara dengan harapan dan tekad. Pasukan perubatan terus berjuang hingga ke nafas terakhir, berbekalkan hanya hati nurani dan harapan.


“Selamatkan Kompleks Perubatan Nasser sebelum ia berubah menjadi tanah perkuburan sunyi bagi pesakit yang sepatutnya boleh diselamatkan.” kata pasukan perubatan.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa krisis bahan api di Gaza akibat sekatan Israel telah mencapai tahap kritikal, sekali gus mengancam lebih banyak nyawa. Israel dilaporkan terus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu sejak 2 Mac lalu.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 11, 2025