
Ketua sebuah kumpulan bersenjata Palestin yang menentang HAMAS di Gaza meninggal dunia ketika menjadi orang tengah dalam satu pertikaian keluarga, kata kumpulannya pada Khamis. Insiden itu dilihat sebagai tamparan kepada usaha rejim haram Israel yang cuba menyokong puak-puak penentang pejuang Palestin.
Yasser Abu Shabab, seorang ketua kabilah Badwi yang berpangkalan di Rafah—kini berada di bawah kawalan tentera Israel di selatan Gaza—dikenali sebagai pemimpin kumpulan kecil anti-HAMAS yang paling menonjol di wilayah itu. Kumpulan tersebut muncul di Gaza sepanjang perang yang tercetus lebih dua tahun lalu.
Kumpulan bersenjata yang diketuai Yasser Abu Shabab, al-Quwwatu al-Sya’biyyah, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ketua mereka meninggal dunia selepas ditembak ketika cuba campur tangan dalam pertengkaran keluarga.
Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu mengakui pada Jun lalu bahawa Israel telah membekalkan senjata kepada puak-puak anti-HAMAS walaupun hanya sedikit maklumat mengenai perkara itu diumumkan sejak itu.
Kumpulan al-Quwwatu al-Sya’biyyah terus beroperasi di kawasan Gaza yang dikawal tentera Israel sejak HAMAS-Israel mencapai gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) pada Oktober.
Abu Shabab hampir tidak dikenali di wilayah Palestin sehingga kemunculannya mengetuai sebuah kumpulan bersenjata tahun lalu. Pada awalnya kumpulan bersenjata tersebut digelar Anti-Terror Service. Namun, menjelang Mei tahun ini kumpulan itu menjenamakan dirinya semula sebagai Popular Forces.
Kumpulan ini beroperasi dalam kesamaran antara kumpulan jenayah dan pasukan proksi Israel tetapi cuba menampilkan diri sebagai kumpulan nasionalis Palestin yang berdedikasi memerangi HAMAS.
Sumber: Reuters, Al Jazeera