Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Yayasan Hind Rajab mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) bagi membuka siasatan jenayah terhadap Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir serta memohon supaya dia ditahan sebaik tiba di New York pada bulan hadapan.

Dalam satu kenyataan, organisasi berpangkalan di Brussels itu memaklumkan bahawa permohonan tersebut mengandungi dakwaan bahawa Ben-Gvir telah menghasut secara langsung kepada jenayah genosid, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan sejak memegang jawatan pada tahun 2022.

Menurut yayasan itu, kes berkenaan bukan sahaja melibatkan dakwaan jenayah antarabangsa, malah menjadi cabaran terhadap komitmen AS dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Yayasan itu turut mendakwa dasar yang diperkenalkan Ben-Gvir terhadap tahanan Palestin telah menyumbang secara langsung kepada kematian puluhan tahanan di penjara rejim Israel. Dokumen undang-undang yang dikemukakan juga mengandungi dakwaan berkaitan kecederaan fizikal serta kerugian harta benda yang dialami oleh orang awam yang mempunyai kewarganegaraan AS.

Wakil Yayasan Hind Rajab di AS, Jake Rom berkata, lawatan Ben-Gvir ke negara itu membuka ruang kepada pihak berkuasa AS untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Menurut beliau, keadaan itu akan menjadi penentu sama ada pihak berkuasa AS bersedia melaksanakan undang-undang secara adil tanpa pengecualian atau terus memberikan kekebalan kepada pegawai-pegawai rejim Israel daripada pendakwaan.

Beliau menggesa Jabatan Kehakiman AS membuka siasatan jenayah secara rasmi dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ben-Gvir, sambil menegaskan bahawa pertimbangan politik tidak seharusnya menghalang pendakwaan terhadap individu yang didakwa melakukan jenayah antarabangsa.

Yayasan Hind Rajab merupakan sebuah pertubuhan hak asasi manusia bebas yang berpangkalan di Brussels dan ditubuhkan pada September 2024 ketika perang di Gaza sedang berlangsung. Pertubuhan itu dinamakan sempena Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin yang terkorban bersama ahli keluarganya serta petugas paramedik dalam satu serangan di kawasan Tel al-Hawa, bandar Gaza.

Organisasi berkenaan memfokuskan usaha mengumpul bukti, mendokumentasikan keterangan saksi serta mengenal pasti anggota tentera dan pegawai rejim Israel yang didakwa terlibat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa, khususnya mereka yang memiliki kewarganegaraan dwi-negara.

Bukti yang dikumpulkan digunakan bagi memfailkan kes jenayah di mahkamah negara masing-masing berdasarkan prinsip bidang kuasa sejagat (universal jurisdiction). Selain itu, yayasan berkenaan turut menyerahkan fail-fail kes yang telah didokumentasikan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi tindakan lanjut.


Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
June 29, 2026